Pelancaran Pembangunan Modal Insan Pakar Jurutera Muda
Bayan Lepas, 7 Sept 2013: MIGHT-METEOR Advanced Manufacturing Sdn Bhd (MIGHT-METEOR) bersama sokongan Unit Perancangan Ekonomi (UPE), MiGHT dan Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) hari ini melancarkan program ‘Technology Specialist in Specific Domain Expertise 2 (TeSSDE 2)’ untuk melatih graduan ijazah sarjana muda sebagai Pakar Teknologi khususnya dalam bidang elektrikal dan elektronik serta minyak dan gas.
Program baru ini dilancarkan di Majlis Graduasi untuk peserta TeSSDE 1 bagi sesi 2011/2012 yang merangkumi 289 graduan yang telah menjalani latihan selama lebih daripada 12 bulan. Program ini merangkumi lebih kurang 2 bulan latihan di dalam kelas dengan 10 bulan latihan dalam pekerjaan.
Program TeSSDE 2 telah dilancarkan oleh YBrs. En Nik Azman Nik Abdul Majid, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Unit Perancangan Ekonomi disini hari ini dimana beliau mengulas "Program ini direka untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan kejuruteraan bakat-bakat muda tempatan. Inisiatif ini pasti akan menyokong agenda nasional dalam meningkatkan daya saing industri Malaysia terutamanya dalam kedua-dua bidang yang mampu membawa negara kita ke peringkat seiring dengan negara-negara dunia pertama”.
Program ini memberi tumpuan untuk membangunkan bakat-bakat yang mempunyai kemahiran tersendiri dalam aktiviti bidang kejuruteraan terutamanya bidang teknikal selain membentuk sahsiah peserta yang bakal menjadi pemimpin negara. Program TeSSDE 2 ini akan menempatkan 642 peserta dalam latihan bersama industri elektrikal dan elektronik, serta minyak dan gas terkemuka di dalam negara. Program-program ini merupakan contoh terbaik kerjasama awam-swasta, selaras dengan teras pertama TalentCorp iaitu mengoptimumkan Modal Insan Negara. Di bawah kolaborasi ini, TalentCorp bertanggungjawab untuk menyelia program ini, manakala MIGHT-METEOR pula bertanggungjawab untuk memastikan para graduan dapat mencari pekerjaan dalam bidang pengkhususan masing-masing.
”ƒ
Pengarah Urusan MIGHT-METEOR, Jasmin Baba berkata, "Melihat kejayaan peserta dari TeSSDE 1, kami amat berbesar hati untuk meneruskan kesinambungan program TeSSDE untuk kali kedua kerana program ini merapatkan jurang dan membenarkan peralihan peserta dari persekitaran akademik ke persekitaran industri. Kami menerapkan program pembangunan teknikal dan softskil untuk graduan ke arah menjadi pakar teknologi dan jurutera mahir yang berdedikasi, berwibawa dan berwawasan". Modul-modul latihan direka khas bagi peserta program untuk memenuhi keperluan negara ke arah mencapai era berteknologi tinggi yang mapan kelak.
“Di bawah teras strategik Mengoptimumkan Bakat Malaysia, TalentCorp menyediakan pembiayaan di antara RM8,000 dan RM30,000 untuk setiap graduan berdasarkan pengkhususan mereka. Bagi tahun 2013, dijangkakan lebih daripada 6,000 graduan bakal berkemahiran tinggi melalui pelbagai program untuk menangani keperluan bakat Program Transformasi Ekonomi (ETP)” kata Johan Mahmood Merican, Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp.
Program TeSSDE yang dilancarkan menyokong usaha kerajaan dalam Economic Transformation Programme (ETP) bagi program-program pembangunan modal insan di mana kini mengambil pendekatan baru untuk menyelesaikan masalah yang sedia ada. Pendekatan latihan yang diberikan menjadi platform bagi graduan tempatan untuk membina potensi diri ke arah pencapaian karier yang lebih progresif.