Opening Hours: 9:00 am to 5:00 pm (Monday - Friday)

Tak Adil, Tempat Merokok Ada, Bilik Menyusu Tak Ada

curve
FMT News

Tak Adil, Tempat Merokok Ada, Bilik Menyusu Tak Ada

16 January 2017

Kaji selidik MummyTime Anmum™ Lacta menunjukkan hanya seorang daripada 4 wanita disediakan bilik menyusu di tempat kerja.

nursing-room

Situasi 1: Intan, baru saja pulang daripada cuti bersalin. Tiba masanya, dia kena perah susu badan dalam botol kecil berkaca dan disimpan dalam peti sejuk. Balik nanti bolehlah dipanaskan sedikit sebelum diberikan kepada bayinya.

Jadi, ada masalah kah di sini?

Ada, nak tahu mana Intan perah susu badannya? Dalam tandas!

Situasi 2: Teena (bukan nama sebenar) duduk dalam bilik stor. Sebelah tangan memicit pam susu, sebelah lagi memegang botol dan sehelai kain menutup bahagian hadapannya. Teena trauma kerana pernah sekali ketika dia sedang mengepam susu badan, seorang rakan kerja lelaki secara tidak sengaja masuk mencari fail. Walaupun sudah beratus kali minta maaf, Teena masih trauma. Nasibnya tidak berubah, dia masih dalam bilik stor kecil itu, duduk menghadap dinding, di antara almari dan mesin fotokopi lama.

“Pejabat sediakan ruang untuk merokok, tapi bukan bilik menyusu,” katanya.

Situasi 3: Setiap kali tiba masanya, Laila berlari turun dari pejabat ke tingkat bawah tanah B2, ke keretanya. Dia kena mengepam susu dalam kereta. Ketika mengepam susu, dia akan menutup semua tingkap dengan kain. Pernah sekali tingkap kereta diketuk pegawai sekuriti Nepal, terkejut dibuatnya. Tetapi sekarang mereka langsung tak ganggu Laila, mereka faham situasi ibu ini.

Kaji selidik MummyTime oleh Anmum™ Lacta menunjukkan 79% ibu menyusu di Malaysia kesal dengan sokongan dan kemudahan yang disediakan majikan apabila mereka kembali bekerja selepas melahirkan anak.

Hanya 1 daripada 4 wanita mempunyai bilik menyusu di tempat kerja, menurut kajian itu.

Ruang awam seperti bilik mesyuarat, kubikel kerja, stor, kenderaan dan tandas menjadi tempat menyusu ibu ini.

Sekitar 83% ibu berkata kemudahan bilik menyusu di tempat kerja boleh menyumbang kepada produktiviti kerja sebanyak 50% atau lebih.

Saya tidak pasti bagaimana seorang lelaki akan memberi reaksi terhadap isu ini, tetapi bagi wanita ia isu yang serius dan mendukacitakan.

Menyokong ibu bekerja dan sedang menyusu, Anmum™ Lacta melancarkan kempen dengan menaja bilik menyusu berkelengkapan penuh. Ia bertujuan menggalakkan majikan agar memberikan sokongan kepada para ibu yang kembali bekerja selepas bersalin.

“Kami terkejut bila mengetahui ada ibu yang tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada majikan,” kata Pengarah Urusan Fonterra Brands Malaysia (Fonterra), Jose Miguel Porraz.

irene-cheah

Pengurus Pemasaran Fonterra Irene Cheah berkata setiap bilik menyusu ditaja Anmum™ Lacta direka untuk dijadikan garis panduan kepada syarikat yang berhasrat berbuat demikian.

Kempen itu disokong Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) yang bekerjasama dengan majikan dalam menyediakan aturan kerja lebih fleksibel dan kemudahan di tempat kerja yang lebih mesra ibu bapa seperti bilik menyusu.

Ketua pegawai eksekutifnya, Shareen Shariza Abdul Ghani berkata pihaknya berbesar hati menyokong inisiatif itu.

“Sebuah bilik menyusu dengan kemudahan lengkap tidak memerlukan ruangan besar dan pelaburan tinggi, tetapi ia menyampaikan mesej penting iaitu majikan menghargai pekerja dan memahami cabaran dihadapi ibu untuk menyeimbangkan tanggungjawab antara keluarga dan kerja, tanpa perlu mengorbankan salah satu daripadanya,” katanya.

Irene berkata sebagai sokongan tambahan, Fonterra berhasrat membekalkan bekalan Anmum™ Lacta kepada ibu di organisasi yang bekerjasama membina bilik menyusu kelak.

 

 

News from FMT News

Tak Adil, Tempat Merokok Ada, Bilik Menyusu Tak Ada