Penganggur, Siswazah Disaran Rujuk MyFutureJobs
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia menyediakan inisiatif kepada lepasan siswazah dan golongan penganggur mendapatkan pekerjaan melalui portal perkhidmatan pekerjaan MyFutureJobs.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, inisiatif tersebut membantu para siswazah mendapatkan pelbagai peluang pekerjaan yang bersesuaian mengikut kelulusan.
“Portal tersebut dapat membantu mencari pekerjaan terutamanya golongan siswazah melalui pemadanan kerja.
“Sehingga 14 Ogos 2020, sebanyak 7,178 orang daripada golongan siswazah telah berjaya mendapatkan penempatan pekerjaan melalui portal perkhidmatan ini,” katanya.
Sementara itu katanya, portal tersebut juga memberi kemudahan kepada para majikan untuk mengiklankan kekosongan yang terdapat di syarikat mereka.
“Berdasarkan data Kementerian Sumber Manusia pada 14 Ogos 2020, sejumlah 202,117 kekosongan jawatan ditawarkan oleh majikan,” ujarnya dalam sesi jawap soalan lisan di sidang Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawap soalan lisan daripada Senator Idris Ahmad berkenaan inisiatif kerajaan dalam memastikan Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam melahirkan tenaga manusia yang efisyen kepada industri dalam negara.
Dalam pada itu, kementerian melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK) menganjurkan pelbagai program penempatan pekerjaan bagi memberi peluang pekerjaan kepada lepasan siswazah dan golongan pengangguran.
“Antaranya Karnival Kerjaya, Penempatan melalui Klien Akaun, temuduga terbuka, program kerjasama antara agensi, Holiday Placement for Student (HOPS), penempatan dengan kerjasama APS, program penempatan golongan khas, dan Penyesuaian Kerjaya (PPK).
“Pelbagai program ini telah diadakan dari semasa ke semasa bagi menemukan pencari kerja dengan majikan yang sepadan,” katanya.
Tambahnya, Talentcorp juga antara agensi yang bekerjasama memperkasa dan meningkatkan usaha serta inisiatif menambah baik ekosistem pembangunan bakat negara.
“Talentcorp memberikan tumpuan kepada pembangunan kebolehpasaran graduan dan tenaga bakat muda negara dengan melaksanakan pelbagai program.
“Antaranya, program Young Employeble Student (YES), Program Latihan Industri Berstruktur (IP), Nurturing Expert Talent (NEX), Kolaborasi Industri Akademia (AIC) dan, Scholarship Talent Attraction and Retention (STAR),” kata Awang Hashim. – HARAKAHDAILY 15/9/2020
News from Harakahdaily