Opening Hours: 9:00 am to 5:00 pm (Monday - Friday)

TalentCorp, NSDC International tandatangani MoU khidmat nasihat teknologi

curve
Berita Harian

TalentCorp, NSDC International tandatangani MoU khidmat nasihat teknologi

23 August 2024

Pertukaran MoU antara TalentCorp yang diwakili oleh Mathew (TalentCorp GCEO) dan NSDC International yang diwakili oleh Tiwari disaksikan oleh Steven dan Jayant serta diiringi pegawai kanan dari India MSDE dan KESUMA

 

NEW DELHI: Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), agensi dan badan pemikir di bawah Kementerian Sumber Manusia Malaysia (KESUMA), telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan NSDC International, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Kemahiran Nasional (NSDC) India.

TalentCorp dalam satu kenyataan berkata, kerjasama strategik ini penyelesaian untuk pembangunan kemahiran digital yang bertujuan melengkapkan belia Malaysia dengan kemahiran masa hadapan.

Pada masa sama, memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan India serta inisiatif pembangunan kemahiran di kedua-dua negara.

"MoU ini melengkapi perjanjian pertama yang ditandatangani pada Mac 2023 antara TalentCorp dan NSDC, yang membawa kepada penubuhan MyMAHIR Future Skills Talent Council (FSTC) yang dipacu industri oleh TalentCorp.

"Inisiatif ini membolehkan pemimpin industri mengenal pasti keperluan kemahiran yang berkembang dalam sektor tertentu dan menerajui latihan yang diperlukan untuk memastikan bakat dilengkapi dengan kemahiran semasa dan masa depan.

"Sehingga hari ini, enam Majlis FSTC telah ditubuhkan yang meliputi sektor seperti E&E, ICT, Aeroangkasa, Biopharma & Pembuatan, Perkhidmatan Pembuatan Makanan, serta Perkhidmatan Global & Pusat Data, dengan empat lagi ditetapkan untuk dilancarkan menjelang September 2024," kata kenyataan itu.

Pertukaran MoU dilakukan antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif NSDC International, Ved Mani Tiwari serta disaksikan Menteri KESUMA, Steven Sim Chee Keong dan rakan sejawatnya, Menteri Pembangunan Kemahiran dan Keusahawanan India, Jayant Chaudhary di ibu pejabat, NSDC di New Delhi, India.

Sementara itu, Steven dalam ucapan berkata, perbincangan dengan India telah membawa kepada perkongsian untuk meningkatkan kemahiran belia Malaysia.

"KESUMA, melalui TalentCorp merangka program latihan kemahiran khusus berdasarkan cadangan dan bimbingan FSTC.

"Kami mendapati, rata-rata peserta yang menyertai latihan kemahiran berdasarkan panduan FSTC ini biasanya memperoleh gaji 10 hingga 15 peratus lebih tinggi, membuktikan hubungan kukuh antara peningkatan produktiviti dan kenaikan gaji.

"Dengan MoU baharu itu, kedua-dua kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama dan mencapai kejayaan yang lebih besar untuk kedua-dua negara," katanya.

Menurut kenyataan itu, memorandum baharu antara TalentCorp dan NSDC akan memberi tumpuan kepada dua bidang utama.

Pertama, bidang pendigitalan ekosistem bakat Malaysia melalui perkongsian pengetahuan dan kolaborasi dalam Hab Digital Skills India NSDC manakala kedua, memperkenalkan kelayakan digital untuk warga India yang bekerja di Malaysia yang disahkan.

KESUMA turut akan melancarkan platform digital yang merangkumi pembangunan kurikulum, reka bentuk latihan, penciptaan kandungan, dan amalan terbaik pensijilan untuk meningkatkan peluang pekerjaan belia di Malaysia dan di peringkat global.

Strategi ini diadaptasi daripada Skill India Digital Hub yang dengan mengintegrasikan kemahiran, pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan di India. Ekosistem digital ini memberikan Malaysia peluang untuk mengguna pakai model yang berjaya ini, dengan memberi fokus dalam AI dan Digital.

Menteri Pendidikan dan Menteri Negeri (Independent Charge) Kerajaan India, Jayant Chaudhary, dalam ucapan berkata, program pembangunan kemahiran di India dibentuk dengan fokus pada keperluan industri.

"Melalui tinjauan dari akar umbi, kami mengenal pasti jurang kemahiran kritikal, dan Hab Digital Skill India memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang tersebut.

"Saya yakin TalentCorp akan mendapat manfaat besar daripada khidmat nasihat teknologi yang disediakan oleh NSDC International. Perkongsian ini membuka peluang berharga untuk pembelajaran dan pertumbuhan bersama bagi kedua-dua negara," katanya.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Menteri Pembangunan Kemahiran dan Keusahawanan (MSDE) India, Atul Kumar Tiwari, dan pegawai kanan daripada KESUMA, TalentCorp, MSDE dan MPPK.

TalentCorp, NSDC International tandatangani MoU khidmat nasihat teknologi